Rumah Anak-anak Yatim Darul Izzah, Bangi
Dia melihat bangunan rumah kebajikan itu dengan rasa rindu. Sudah beberapa hari dia tidak kembali ke situ setelah dia terlantar di hospital. Dia rindu dengan penghuni-penghuni yang lain yang dianggapnya seperti adik-beradik kandungnya sendiri.
“Abang Islam dah balik!!” Amin, anak kecil yang baru berusia 5 tahun itu bersuara riang saat melihat Islam dan Firdaus di halaman rumah kebajikan itu.
Pantas, Amin memeluk erat tubuh Islam yang sudah dianggapnya sebagai abang kandungnya. Firdaus hanya tersenyum melihat gelagat mereka berdua.
“Islam. Alhamdulillah, nak. Allah merahmati mu,” seorang wanita yang berusia seawal 40-an menghampiri mereka.
Pelukan Amin dilepaskan perlahan-lahan. Dia memandang wajah wanita itu yang sudah menjaga dan membesarkannya dengan kasih sayang sejak dia kematian ibu dan bapanya 11 tahun yang lalu.
“Ibu,” dia melangkah ke arah wanita yang dipanggil ibu itu. Lantas, dia mencium tangannya. Rindu benar dia pada ibunya.
“Bagaimana keadaan kamu, nak?” ibu bertanya dengan nada yang penuh keibuan.
“Alhamdulillah. Sihat walafiat. Ibu sihat?”
“Baik, Alhamdulillah. Masuklah. Ibu ada masak lauk kesukaan Islam. Ajaklah Firdaus masuk.”
Islam tersenyum lebar.
“Terima kasih, ibu.”
Dia menoleh ke arah Firdaus yang masih tidak berganjak dari kedudukan asalnya.
“Firdaus, jomlah masuk. Kita makan lauk kesukaan ana.”
******************
Cengkerik dan unggas-unggas mula melemparkan bunyi-bunyian di dada hutan dan kabus putih menyamar dalam kekusaman malam. Malam terus merangkak tua.
Kata-kata Firdaus petang tadi masih terngiang-ngiang di dalam ingatannya.
“Islam, ana cadangkan anta tak payah menyusahkan diri anta untuk pergi melawat Gang Underground di lokap. Minta maaf. Kali ni ana tidak sependapat dengan anta.”
Islam menghela nafasnya. Bantal yang menjadi alas kepalanya dibetulkan kedudukannya. Pandangannya dialihkan di sekeliling biliknya.Hatinya berasa tidak tenang. Lantas, dia bangun dari perbaringannya. Dia berzikir dengan menyebut nama Allah.
Lalu, dia bangun dari katilnya menuju ke bilik air untuk mengambil wudhu’. Dia mahu hatinya kembali tenang.
Setelah itu dia menunaikan solat sunat tahajud dengan penuh khusyuk. Kemudian, dia berzikir, berdoa dan membaca kalimah-kalimah suci kitab al-Quran sepanjang malam itu.
Dia melihat jam dinding Quartz. Sudah pukul 2.30 pagi. Perasaan mengantuk mulai menguasai dirinya. Dia melipat sejadahnya.
Dia bangun lalu menuju ke katilnya. Hatinya kian tenang setelah menyerah diri pada Allah sebentar tadi.
******************
Mentari pagi yang masih malu-malu di sebalik selendang gunung mula memancarkan cahaya emasnya.
“Abang, tolong hantarkan Amin pergi sekolah hari ni,” pinta Amin yang sudah lengkap berpakaian uniform tadikanya.
Islam memandang wajah anak kecil itu.
“Amin, bukan ke Amin pergi sekolah dengan bas?”
Amin menggeleng.
“Tak nak. Amin nak abang hantarkan Amin,” Amin mula merengek bagaikan anak kecil.
Islam menarik nafas panjang.
“Okey. Abang tolong hantarkan Amin. Tapi, sampai kat bas je.”
“Abang..” Amin merayu pada Islam.
Belum sempat lagi Islam bersuara, Hanan Mahfuzah, kakak kandung Amin mencelah perbualan mereka.
“Jangan nak mengada-ngada. Bas Amin dah nak sampai. Cepat siap. Kakak hantarkan sampai kat bas.”
Muka Amin berubah sedih. Islam memandang Hanan yang sudahpun bersedia di halaman rumah kebajikan itu.
“Hanan, tak payahlah menyusahkan diri. Apa salahnya kalau abang yang tolong hantarkan Amin. Sampai kat bas Amin,” Islam bersuara.
Hanan memandang wajah Islam.
“Bukan ke abang nak pergi lawat kawan-kawan abang kat lokap hari ni? Nak dekat pukul lapan ni. Biar Hanan yang hantarkan Amin.”
Pantas, Hanan menarik lengan Amin. Islam terpaku dengan tindakan Hanan. Dia hanya mampu mengekori kelibat mereka berdua dengan anak mata sehingga mereka berdua hilang dari pandangannya.
******************
Bas sekolah Amin sudah tiba di stesen bas yang sering kali menjadi tempat naik dan turun Amin ke sekolah. Hanan dan Amin berlari ke stesen bas.
“Amin pergi dulu, kak,” Amin mencium tangan kakaknya.
Hanan mengangguk perlahan.
“Belajar sungguh-sungguh, dik. Jangan main-main sangat kat tadika tu,” Hanan sempat berpesan pada adiknya.
Amin sekadar mengangguk. Dia menaiki bas sekolah itu, kemudian menoleh ke arah kakaknya yang masih tidak berganjak dari kedudukan asalnya.
Pintu bas ditutup. Perlahan-lahan, bas itu bergerak meninggalkan stesen bas itu. Hanan hanya mampu melihat bas itu sehingga hilang dari pandangannya.
Dia mengeluh perlahan. Lama-lama, dia melabuhkan punggungnya di atas bangku stesen bas itu. Otaknya kembali mengimbas kejadian tadi.
‘Sepatutnya aku tak boleh buat macam tu pada abang Islam. Perlu ke aku minta maaf padanya?’ dia bermonolog sendirian.
Hakikatnya, dia berasa malu apabila bertemu dengan Islam. Telah wujud satu perasaan aneh dalam dirinya terhadap Islam dalam diam-diam. Cintakah itu?
Dia terus menggeleng sambil beristighfar panjang. Dia mesti membuang bayangan Islam sejauh-jauhnya biar berjuta-juta batu sekalipun.
******************
Islam duduk di atas buaian yang terletak di hadapan rumah kebajikan itu. Sejak kebelakangan ini, Hanan seakan-akan semakin menjauhkan diri daripadanya. Sikapnya yang dulu peramah dengannya, kini tiada dalam dirinya. Malahan hanya ada sikap pemalu apabila berdepan dengannya.
“Sesungguhnya mata, lidah, hati dan telinga membawa kepada zina,” kata-kata ustaz Ashraf ketika majlis tazkirah di masjid tempoh hari terngiang-ngiang di mindanya.
Pantas, dia beristighfar panjang. Dia tidak harus memikirkan soal wanita.
“Allah berfirman, janganlah kamu dekati zina,” kata-kata ustaz Ashraf terngiang-ngiang lagi di mindanya.
Seketika kemudian, Hanan berjalan di hadapannya. Dia baru pulang dari stesen bas. Islam sengaja tidak menegurnya.
“Abang Islam, Hanan minta maaf pasal kejadian tadi. Hanan tak sengaja,” Hanan tiba-tiba bersuara apabila dia melepasi Islam yang sedang duduk di buaian.
Islam bangkit dari tempat duduknya. Matanya memandang Hanan yang masih berdiri di situ.
“Tak apa. Hanan tak bersalah pun,” nadanya mendatar.
Hanan menoleh ke arah Islam yang dibelakanginya sejak tadi. Matanya tepat memandang Islam.
“Abang marahkan Hanan ke?”
Islam menggeleng perlahan.
“Tak. Abang tak pernah marahkan Hanan. Cuma, boleh abang tanya Hanan satu perkara?”
Hanan menelan liur lantas mengangguk perlahan.
“Kenapa Hanan semakin lama semakin menjauhkan diri daripada abang sejak kebelakangan ni?”
Hanan menarik nafas panjang. Soalan itu sudah dapat dijangkanya menjadi pertanyaan Islam.
“Se..se..sebenarnya..” belum sempat dia menyambung kata-katanya, ibu memanggil Islam.
“Islam, tolong ibu hantarkan bekal ni kepada Cik Yam kamu. Lepas tu, Islam nak pergi lawat kawan-kawan Islam kat lokap
Islam memandang wajah ibunya.
“Ya, Islam memang bercadang nak pergi lokap. Tapi lepas solat zohor.”
“Ibu letakkan bekal ni kat dapur, ya? Jangan lupa! Ibu nak pergi masjid sekejap.
“Baik, ibu. Nanti Islam tolong hantarkan.”
Ibu pun kembali ke dapur untuk meletakkan bekal itu di atas meja dapur lalu bersiap untuk ke masjid. Islam dan Hanan masing-masing bersalaman dengan ibu sebelum berangkat ke masjid.
“Ibu, hati-hati,” Hanan sempat berpesan pada ibunya.
“Baiklah. InsyaAllah, ibu pasti berhati-hati. Ibu pergi dulu. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam,” serentak mereka menjawab.
Ibu membuka langkah meninggalkan mereka. Kedua-dua mereka mengekori ibu mereka dengan anak mata sehingga bayangan ibu hilang daripada pandangan mereka.
“Abang, Hanan masuk dulu,” Hanan meminta diri.
Tanpa sempat Islam membuka mulut, Hanan sudahpun membuka langkah meninggalkannya bersendirian di halaman rumah. Islam hanya mampu memerhatikannya dari jauh.
******************
Lokap, Balai Polis Bangi
Pintu besi dibuka dari luar. Seorang anggota polis yang bertugas kelihatan di muka pintu.
“Kamu semua ada pelawat,” suaranya tegas.
Islam melangkah masuk. Anggota polis itu kemudiannya meninggalkannya dengan Gang Underground yang berada di dalam lokap.
“Apa kau buat kat sini?! Tak payah kau nak menyusahkan diri kau kalau kau nak berdakwah kat sini,” Amir bersuara kasar.
“Ana cuma nak melihat sendiri keadaan antum di sini. Antum sihat?”
“Ah! Kalau kau dah tengok kitaorang yang masih boleh bercakap dengan kau, maksudnya kitaorang sihat,” giliran Bear pula bersuara. Dia menyandarkan tubuhnya ke dinding lokap.
Islam menarik nafas dalam-dalam.
“Ana nak beritahu pada antum. Ana sentiasa menganggap antum sebagai teman-teman ana. Dengar kata antum akan dihantar ke satu sekolah di Melaka. InsyaAllah, pasti ana akan melawat antum di
“Sekolah Henry Gurney. Tak payah! Itu tempat budak-budak teruk macam kitaorang. Orang macam kau tak boleh bertapak kat sekolah macam tu. Walaupun kau cuma nak melawat ‘teman-teman’ kau,” Nash berdiri di pintu lokapnya.
Islam mengukir senyuman.
“Ana akan sentiasa doakan kesejahteraan antum. Assalamualaikum.”
Saat dia hendak membuka langkah, Kim menghentikannya.
“Sekejap! Aku ada something nak cakap dengan kau.”
Islam menoleh.
“Kat sekolah nanti, aku nak kau teruskan dakwah kau. Hentikan semangat assabiah yang kau selalu sebut tu. Aku sokong apa-apa yang kau buat. Kau presiden BADAR dan kau jugalah Ketua Pelajar. Hapuskan semangat tu.”
Islam tersenyum. Akhirnya Allah memakbulkan doanya.
“Pasti ana akan lakukan perkara itu. Doakan ana.”
Kim mengangguk perlahan sambil menguntumkan senyuman.
“Islam. Kitaorang betul-betul minta maaf atas semua kesalahan yang kitaorang pernah buat kat kau. Fitnah dan belasah kau sampai kau koma tempoh hari. Kitaorang menyesal,” Amir sebagai wakil Gang Underground memohon maaf pada Islam.
“Ana sudah lama memaafkan antum. Sudahlah. Kehidupan baru antum sedang menunggu antum. Lupakan kisah silam. Mulakan hidup yang baru.”
“Mulai detik ini, tiada lagi Gang Underground,” Amir bersuara tegas.
Kelima-lima mereka bersuara serentak, menyetujui kata-kata Amir.
“Dan mulai detik ini juga, kita semua bergelar sahabat dan teman,” Amir menyambung lagi.
Islam yang berada di situ tersenyum riang apabila melihat teman-temannya sudah mula bertekad untuk berhijrah daripada kehidupan mereka yang lama. Dia memanjatkan kesyukuran pada Allah.
“Perkataan yang lemah lembut itu melembutkan hati yang lebih keras daripada batu dan perkataan yang kasar akan mengasarkan hati yang lebih halus daripada sutera.”
0 komen:
Post a Comment