Langit kelihatan suram. Mentari yang menyinari pagi tidaklah seceria semalam. Angin terus menghembus lesu, menggugurkan beberapa helai daun kering.
Eman mendongak ke langit. Remaja yang berusia awal 20-an itu melihat berpuluh ribu bangau putih terbang rendah di langit yang datang dari Lautan Hindi seakan-akan ingin menyampaikan sesuatu yang buruk pasti berlaku.
Eman membuka langkah ke Masjid Baiturrahman. Lengkap pakaiannya. Berkain pelikat dipadankan dengan kemeja T hijau berkolar dan berkopiah.
Perasaannya bercelaru. Bapa,ibu dan adik berada di rumah. Masing-masing sedang melayani tidur yang lena. Setiap langkahnya diisi dengan zikrullah. Dia cuba untuk bertenang.
Eman berniat iktikaf saat kaki kanannya didahului melangkah masuk ke dalam dewan masjid. Luas. Dia bersila di satu sudut masjid. Mulutnya masih terkumat-kamit menuturkan kalimah-kalimah Allah yang mulia.
“Ya Allah, lon bertobat ngon kah. Lon thee, lon nyoe leumoh,” (Ya Allah, aku bertaubat padaMu. Aku tahu, aku ini cuma insan yang lemah), Eman berbicara dalam dialek Aceh. Dia merintih. “Meu’ah lon. Lon ka insueh.”(Ampunkan aku. Aku insaf.)
Tiba-tiba sebuah gegaran dirasai oleh semua penduduk Aceh. Panik. Eman terpaku. Tetapi gegaran itu hanya sementara. Gegaran tadi mula reda. Para penduduk sibuk menyelamatkan diri masing-masing. Mencari perlindungan sebagai keselamatan awal.
Masjid Baiturrahman yang tadinya lengang kini mula dipenuhi oleh para penduduk. Selang beberapa minit kemudian, menyusul satu lagi gegaran. Kali ini lebih dahsyat dari gegaran yang pertama sebentar tadi. Eman panik. Fikirannya melayang pada keluarganya di rumah.
“Pakri sodara-sodara lon luwa jeh pat?” (Bagaimana keadaan saudara-saudara aku di luar sana?) dia berbisik perlahan menanyakan keadaan keluarganya. Tanpa sedar, air matanya mengalir perlahan dari kelopak matanya. Gegaran masih berlaku. Dia menarik nafas dalam-dalam.
Manusia masing-masing cuba menyelamatkan diri. Mencari perlindungan. Kebanyakannya berlindung di dalam masjid-masjid yang berdekatan. Bagi mereka, hanya satu-satunya yang dijamin selamat untuk berlindung buat masa seperti ini.
Mulut Eman masih terkumat-kamit mengalunkan zikrullah. Tenang. Tiba-tiba, terdengar air mengalir deras di luar masjid. Eman berhenti berzikir.
“Le raya?” (Banjir?) Eman segera bangun dari tempat duduknya. Dia pantas berlari ke bumbung Masjid Baiturrahman. Ramai orang berpusu-pusu naik ke bumbung untuk mencari perlindungan.
Dari situ jelas pemandangannya. Lebih dahsyat dari banjir biasa. Banyak bangunan yang dulunya berdiri teguh di atas tanah, kini musnah mencium bumi. Eman melarikan pandangan. Kedengaran bunyi esak tangis anak-anak kecil meminta tolong. Suara-suara yang sedang berada dalam kesusahan. Eman memandang di sekelilingnya. Ramai lagi penduduk yang berlari dan berebut-rebut untuk naik ke bumbung masjid itu.
Eman terduduk. “Bapa! Ibu! Adik!” dia menjerit semahu-mahunya. Dia tidak mahu kehilangan keluarganya. Dia begitu menyayangi semuanya.
Tubir matanya sudah tidak mampu menahan air mata yang jernih yang mengalir tiba-tiba. Air mata semakin membanjiri pipi dalam esakan yang memilukan. Eman mendongak ke langit. Hatinya tidak putus-putus berdoa kepada Yang Maha Esa.“Meunyo lon na ngon sodara-sodara lon…” (Maafkan aku. Aku tak ada dengan saudara-saudara aku..)dia merintih. Menyesali segalanya. “Meu’ah lon, meu’ah lon.” (Maafkan aku, maafkan aku)
Banda Aceh musnah teruk. Banyak bangunan yang runtuh menyembah bumi. Ajaibnya, puluhan masjid di wilayah Aceh tetap teguh di sebalik bencana yang dipanggil le beuna oleh orang Aceh atau lebih dikenali sebagai tsunami oleh masyarakat dunia. Antaranya, Masjid Baiturrahman, Masjid Meulaboh dan sebuah masjid yang terletak di Kuede Teunon, 100 kilometer di selatan Banda Aceh. ALLAHUAKBAR! Hebatnya kekuasaan Allah.
Berpuluh-puluh ribu mayat yang bergelimpangan dikumpulkan di satu tempat dan ditanam bersama. Berpuluh-puluh ribu anak kecil menjadi anak yatim dan berpuluh-puluh ribu jua penduduk yang hilang sumber rezeki dan tempat tinggal.
Eman menatap pemergian insan-insan yang tercinta. Dia duduk di kaki lima Pesantren Babun Najah yakni sebuah pondok pengajian agama. Sudah hampir sebulan mala petaka tsunami melanda Aceh.
Dia terkenang sewaktu dia dan adiknya ingin memetik buah mangga di kebun Pak Man.
“Boh peue nyong paleng kah galak?” (Buah apa yang awak paling suka? Eman bertanya.
Diam.
“Lon paleng galak boh jambee. Meunyo kah boh peue?” (Saya paling suka buah jambu. Kalau abang, buah apa?”)
Eman berfikir sejenak.
“Meunyo lon boh mamplam.” (Kalau abang, buah mangga.)
Angguk.
“Hay, kapot boh mamplam lee!” (Hey, abang kutip buah mangga dulu!) adiknya memberi cadangan.
“Keu peue?” (Untuk apa?) Eman pelik.
“Tapeuget seulincah. Hana hawakah?” (Kita buat rojak. Abang tak nak?)
Angguk. “Jeuet.” (Boleh.)
Eman memanjat pokok mangga lalu memetik buahnya. Banyak. Mereka berdua makan beberapa buah mangga di bawah pokok mangga yang rendang dan membawa selebihnya pulang ke rumah untuk membuat rojak.
“Na mameh boh mamplam nyan?” (Manis tak buah mangga tu?) Eman bertanya. Adiknya membuat muka.
“Peue mameh! Masam tulo!” (Manis apa?! Masam betul!) mereka berdua ketawa bersama. Seronok benar menghabiskan masa bersama.
“Hay!” Eman kembali menjejak ke dunia nyata. Air matanya dikesat perlahan dengan jari-jemarinya. Dia memandang orang menegurnya tadi yang kini mengambil tempat di sebelahnya.
“Pak Ustaz?” Eman bersuara perlahan. Kedua-dua matanya masih merah selepas menangis sebegitu lama. Di bibirnya, tertera segaris senyuman walaupun kesedihan masih bertakhta.
“Eman, sudahlah. Saya tak boleh melihat kamu sedih memanjang. Sepatutnya kamu patut berfikir tentang masa depan kamu. Bukannya memandang ke belakang. Fikirkan soal hidup kamu. Janganlah kamu kenangkan mereka yang sudah tiada,” suaranya lembut. Ustaz yang menyertai rombongan sukarelawan dari Malaysia menegurnya. Air mata yang dari tadi bergenang di tubir mata , tumpah membasahi pipi.
Angguk tidak, geleng pun tidak. Meskipun Eman seorang warganegara Aceh yang memiliki slanga Aceh yang pekat, dia boleh memahami dan bercakap dalam bahasa Malaysia kerana sebelum ini dia pernah bermastautin di Malaysia dalam tempoh yang agak lama.
Ustaz muda tadi mengusap perlahan belakang badannya. Perlahan-lahan Eman mengesat air matanya. Dia menarik nafas panjang. Cuba untuk bertenang.
“Pak Ustaz, saya faham,” pendek sahaja percakapannya. Dia senyum tawar. Segaris senyuman terukir di bibir ustaz muda itu.
“Saya juga sudah kehilangan kedua-dua ibu bapa saya beberapa tahun yang lepas akibat kemalangan. Saya tak boleh menerima hakikat ini kerana saya tak bersedia untuk kehilangan kedua-duanya. Lagi-lagi saya cuma anak tunggal. Tak ada adik-beradik yang lain.”
Diam.
Ustaz menelan liur. “Suatu hari, saya sedar bahawa saya hanya membuang masa. Saya hanya meratapi insan-insan yang telah pergi menyahut seruan Ilahi. Saat itu, saya sedar bahawa saya harus berusaha untuk bangkit dan hidup sendiri. Kerana itu, saya dapat menjadi seorang ustaz seperti sekarang demi membantu orang lain.”
Eman tunduk. Memikirkan kata-kata ustaz sebentar tadi. Matanya berkaca., menahan tangisan.
Suasana sepi buat seketika di antara mereka. Kedengaran suara anak-anak kecil yang sedang mengucapkan kalimah-kalimah Allah.
Bahunya ditepuk perlahan. “Kalau boleh, saya nak kamu menjadi seorang ustaz bagi membantu orang lain dan menyebarkan dakwah Islamiah. Boleh tak kamu membantu saya mendidik orang lain?” ustaz memberi pandangan. Eman mengangkat wajah. Dia memandang wajah ustaz muda itu dalam-dalam.
“Terima kasih, Pak Ustaz. Tapi, saya tak faham. Kenapa saya, Pak Ustaz?”
Ustaz menarik nafas panjang. “Kerana kamu sememangnya layak menjadi seorang ustaz. Lagi-lagi, umur kamu ini sudah boleh mendapat pekerjaan. Macam mana? Kamu setuju?”
Eman menelan liur. Dilema. Kedua-duanya diam seribu bahasa. Langsung tidak bersuara. Hanya kedengaran suara anak-anak kecil di situ.
Pesantren Babun Najah dipenuhi oleh anak-anak yatim yang sedang mempelajari ilmu agama. Kedengaran suara anak-anak kecil mengalunkan zikrullah Asmaul Husna.
Eman memperkemaskan kopiah di kepalanya. Kini sudah hampir enam bulan dia menjadi seorang ustaz di pondok pengajian agama itu. Dia begitu menyukai kerjanya itu. Ustaz yang mengesyorkan pekerjaan itu padanya suatu ketika dahulu sudahpun pulang ke Malaysia beberapa bulan yang lalu. Dia senyum sendiri.
Banda Aceh yang musnah teruk akibat mala petaka yang berlaku, kini berkembang sedikit demi sedikit. Bangunan-bangunan yang runtuh dibina semula. Manakala yang rosak dibaik pulih. Masjid-masjid yang masih berdiri kukuh juga dibaiki.
Kebanyakan penduduk Aceh mula sibuk mencari rezeki untuk menampung kehidupan seharian. Sukarelawan-sukarelawan khususnya dari Malaysia tidak putus-putus menghulurkan bantuan sama ada dari sudut makanan, pakaian mahupun perubatan.
Lima tahun kemudian
26 Disember 2009
Eman bersila di sisi kubur mangsa-mangsa tsunami. Tangannya masih erat memegang Surah Yasin. Air matanya mengalir perlahan.
“Meu’ah lon. Lon hana ngon sodara-sodara lon dutik keh. Lon rhap sodara-sodara beugie jeh pat,” (Maafkan aku. Aku tiada dengan saudara-saudara aku waktu itu. Aku harap saudara-saudara ku bahagia di sana.) dia merintih. Sudah lima tahun sejak malapetaka tsunami melanda Banda Aceh. Berpuluh-puluh ribu mangsa yang terkorban dalam mala petaka tersebut.
‘Duwa ploh nam buleuen duwa blah duwa ribee peuet, lon ilang sodara-sodara lon. Watee jeh, lon…’ ( Tanggal dua puluh enam haribulan dua belas dua ribu empat, aku kehilangan saudara-saudara aku. Waktu itu, aku…)
Bahunya ditepuk. Air mata yang membasahi pipi dikesat.
“Eman?” namanya disebut. Dia memandang wajah lelaki yang menegurnya tadi.
“Pak Man?” suaranya perlahan. Pak Man, pemilik kebun buah-buahan yang berasal dari Malaysia. Dia senyum tawar.
“Biarlah yang tiada itu pergi. Janganlah kamu tangisi lagi, Eman. Ayuh. Kita pergi dari sini. Hari dah nak hujan,” Pak Man bersuara.
Senyum. Eman bangun dari tempat duduknya. Tikar usang yang digunakannya sebagai alas digulungnya. Dia memandang tepat pada wajah Pak Man di sebelahnya. Segaris senyuman tertera di bibirnya.
Hidup memerlukan pengorbanan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula menentukan kebahagiaan.
Khairunnisa yang sedang khusyuk beribadah di tikar sembahyang di dalam biliknya terganggu dengan bunyi yang sangat bising di ruang tamu rumahnya. Dia melangkah keluar dari biliknya dalam keadaan dirinya yang masih tersarung dengan telekung yang dihadiahkan oleh almarhumah neneknya sempena hari jadinya yang ke-24 pada tahun lepas.
Dia menuju ke ruang tamu. Pantas tangannya menutup suis radio Sony itu. Qaisara menghentikan pergerakannya. Dia memandang Khairunnisa dengan pandangan yang tajam. “Woi, Nisa! Kenapa kau tutup radio tu? Orang tengah best enjoy lagu tadi! Rosak mood aku je la kau ni!” Qaisara meninggikan suaranya terhadap Khairunisa. Tangannya segera ingin menekan semula suis yang ditutup Khairunnisa tadi. Akan tetapi, tangan Khairunnisa lebih pantas mencabut plug radio dari suisnya.
“Sara, kau ni makin lama makin menjadi-jadi. Perintah ALLAH kau tinggalkan. Kau just kejar kebahagiaan duniawi. Ukhrawi kau buat don’t know je. Apa nak jadi dengan kau ni, Sara?” Khairunnisa menasihati Qaisara dengan menggunakan nada suara yang lembut dan sopan dengan harapan agar Qaisara dapat menerima nasihatnya dan tidak terasa hati dengan nasihatnya itu. Khairunnisa sedar reaksi Qaisara terhadapnya tetapi dia dia hanya buat endah tak endah meskipun hatinya terasa sakit dan hanya Tuhan sahaja yang tahu sakitnya.
“Kau siapa nak ajar-ajar aku?! Hei! Aku tak inginlah nak dengar ceramah free kau ni! Buat habis air liur kau je. Daripada kau berceramah kat aku, lebih baik kau pergi masjid dekat-dekat dengan rumah kita tu. Dengar kata dia orang tengah cari seorang ustazah untuk kasi ceramah kat situ. Aku cadangkan kau pergilah curah ilmu kau kat sana. Aku tak berminat dengar ceramah kau ni. Buang masa aku je!” nada suaranya kasar, Khairunnisa menggeleng perlahan sambil beristighfar panjang. Dia kecewa dengan sikap Qaisara. ‘Apa la yang merasuk hati Sara ni? Sampai jadi macam ni? Ya ALLAH, ampunilah dosa-dosa Qaisara. ENGKAU bukakanlah pintu hatinya. Berikanlah hidayah-MU pada dirinya. Amin.’
Khairunnisa menarik nafas panjang. “Syaitan apa yang dah merasuk kau ni, Sara? Hati kau dah gelap! Insaflah sebelum terlambat. Pintu taubat masih terbuka luas untuk kau. Segeralah bertaubat dan insaflah dengan segala dosa yang telah kau lakukan sepanjang hidup kau ni. Kau masih berpeluang untuk kembali ke jalan-Nya,” Khairunnisa masih tidak berputus asa untuk membantu temannya itu untuk kembali ke jalan yang benar.Memang benar Qaisara telah pun tersimpang jauh dari jalan-Nya.
“Eeeee…bengangnya aku dengan kau ni! Kau ni tak faham-faham bahasa ke?! Kan aku dah cakap tadi, kalau nak berceramah, pintu masjid tu sentiasa terbuka untuk ustazah yang superb macam kau ni,” Qaisara menyindir Khairunnisa.
“Sara..” belum sempat Khairunnisa membuka ,ulut untuk meneruskan bicaranya, Qaisara cepat-cepat memotong.
“Shut up!!! Aku tak nak dengar apa-apa lagi! Stop it!!! Hal aku, hal aku! Hal kau, hal kau! Jangan pernah masuk campur hal aku! Aku tahu apa yang aku buat!” suaranya makin meninggi dan kasar. Khairunnisa diam seribu bahasa. Dalam hatinya, dia beristighfar panjang.
Dengan pantas, Qaisara membuka langkah keluar dari rumah. Perasaan marah kini menguasai dirinya. Dia menghidupkan enjin skuter Honda berwarna pink miliknya lalu berlalu dari situ.
Khairunnisa beristighfar dan berzikir dengan nama ALLAH. Dia tahu bukan semudah itu untuk membawa Qaisara pulang ke jalan-Nya. Selama ini Qaisara sudah terbiasa dengan amalan yang tidak sihat dan jauh dari agama ALLAH yang suci iaitu Islam. Setiap malam, Qaisara akan menghabiskan masanya dengan berseronok di sebuah kelab malam di sekitar Kuala Lumpur. Dia selalu membasahkan tekaknya dengan arak dan pelbagai lagi minuman keras. Hampir setiap kali waktu fajar, dia pulang ke rumah dalam keadaan yang mabuk bagaikan mabuk bunga selasih.
Khairunnisa masuk semula ke dalam biliknya dan duduk bersila di atas tikar sembahyangnya. Dia bertasbih dan berzikir pada ALLAH dengan penuh khusyuk dan istiqamah. Kejadian tadi dia ketepikan dan kini dia hanya berserah diri sepenuhnya kepada-Nya.
“KRING!!” telefon telekom rumahnya berdering minta diangkat. Khairunnisa yang sedang menonton rancangan Halaqah di rancangan tv9, mengangkat gagang telefon itu bagi menjawab panggilan itu.
“Assalamualaikum,” kedengaran suara si pemanggil memberi salam.
“Waalaikumussalam,” Khairunnisa menjawab salamnya. “Maaf, ni siapa? Anda nak cakap dengan siapa?” lembut sahaja dia bercakap.
“Ini, Cik Khairunnisa binti Abu Bakar?”
“Ya, ini saya. Ada apa ya?”
“Saya, Aisah dari Hospital Besar Kuala Lumpur. Kenalan cik, Qaisara Syafiqah binti Firdaus Asyraf terlibat dalam kemalangan dan sekarang dia dirawat di hospital ini bagi mendapatkan rawatan lanjut,” panjang lebar keterangan Aisah di dalm talian. Khairunnisa menarik nafas dalam-dalam. Dia cuba menenangkan hatinya. Mengharapkan agar Qaisara selamat.
“Saya akan datang secepat mungkin. Terima kasih. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Panggilan itu dimatikan. Khairunnisa meletakkan gagang telefon. “Ya ALLAH, selamatkanlah Qaisara. Janganlah ENGKAU mengambil nyawanya sebelum dia sempat bertaubat pada-MU. Amin.”
KEADAAN Qaisara semakin kritikal. Lagi teruk apabila dia disahkan menghidap penyakit HIV positif. Pergerakan nadinya tidak stabil. Bila-bila masa sahaja, ALLAH boleh memerintahkan malaikat Izrail untuk mencabut nyawa dari jasadnya.
“Nisa..” tangan Khairunnisa digenggam Qaisara yang berada dalam kondisi yang lemah. Nada suaranya seakan-akan berbisik. “Aku minta maaf sebab selama ni aku berkasar dengan kau. Aku tak dapat jadi kawan macam yang kau inginkan selama ni. Sorry.”
Air mata Khairunnisa menitis. Genggamannya semakin erat. “Tak apa. Aku dah lama maafkan kau. Walau apa pun yang berlaku, kau tetap sahabat aku. Kenyataan tu tak akan pernah berubah sampai bila-bila pun.” Khairunnisa menguntumkan senyuman dalam linangan air mata. Qaisara turut tersenyum walaupun senyuman itu alah senyum tawar.
Tiba-tiba, dadanya berombak. Pergerakan nadinya tidak stabil. Qaisara mencari oksigen untuk bernafas. Namun semuanya kelihatan sia-sia. Dia mengenggam dengan lebih erat tangan Khairunnisa.
Khairunnisa mendekatkan bibirnya ke telinga Qaisara. “Ikut aku mengucap, ya?” dia berbisik.
“ASHHADU AN LA ILAHA ILLALLAH.”
Perlahan-lahan, Qaisara mengikut satu-persatu ucapan kalimah syahadah. Walaupun tidak berapa lancar dan lidahnya kelu untuk mengucapkan kalimah-kalimah itu. Namun dia tetap berusaha untuk mengucap kalimah syahadah.
“WA ASHHADU ANNA MUHAMMADARRASULULLAH.”
Khairunnisa menyambung ucapan kalimah syahadah. Perlahan-lahan Qaisara mengikut. Selesai sahaja, dia mengucap, dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.Genggaman tadi makin longgar dan dilepaskan. Tubuh Qaisara kini kaku. Tiada lagi pergerakan pada tubuh Qaisara.
Air mata Khairunnisa gugur dari kelopak matanya. Dia mengukir senyuman dalam tangisan. Sesungguhnya dia berasa gembira kerana sahabatnya itu sempat mengucapkan dua kalimah syahadah sebelum nyawanya dicabut dari jasadnya.
“INNALILLAHI WAINNA ILAIHI RAJI’UN.”
‘Semoga rohnya dicucurkan rahmat-Nya. Amin~’
Amalina begitu menyukai dan meminati artis remaja zaman kini yang semakin popular dengan lagu Bila Terasa Rindu iaitu Gadaffi Ismail Sabri atau lebih dikenali dengan nama glamornya, Dafi.
Baginya lagu itu begitu sesuai untuk dirinya apatah lagi dia kini sedang hangat bercinta dengan seorang anak teruna inspektor iaitu anak Lans Koperal Omar, Amir. Umur mereka sebaya lebih-lebih lagi mereka berdua merupakan polis pelatih di tempat yang sama.
Suatu hari, ibu bapa Amir, Lans Koperal Omar dan isteri, Puan Arianna, datang ke rumah Amalina. Tujuan mereka datang ke situ adalah untuk meminang Amalina atas permintaa Amir, satu-satunya anak teruna mereka.
“Rashid, Salmah, kami berdua ingat nak meminang anak dara kamu yang sorang tu untuk anak lelaki kami, Amir. Itulah tujuan kami bertandang di rumah kamu ni,” Lans Koperal Omar menyatakan hajat mereka berdua menemui Lans Koperal Rashid dan Puan Salmah yang juga merupakan ibu bapa Amalina.
Lans Koperal Rashid dan Salmah saling berpandangan sambil menguntumkan senyuman segar. Kemudian pandangan mereka beralih pada wajah Lans Koperal Omar dan Puan Arianna silih berganti.
“Beginilah ye, Omar. Serahkan segala urusan pada kami. Amacam? Setuju tak? Atau ada apa-apa bantahan?”Lans Koperal Rashid seakan-akan berkias. Puan Salmah tersenyum sambil mengangguk perlahan mengiyakan kata-kata suaminya.
“ Apa maksud kamu, Rashid? Kamu berdua terima pinangan ni tanpa bertanya pada Amalina dulu ke pasal benda ni?” Lans Koperal Omar mengajukan soalan yang bertubi-tubi.
Lans Koperal Rashid menarik nafas seketika. “Bukan begitu, Omar. Amalina yang cakap awal-awal lagi kat saya dengan isteri saya ni. Dia kata bila Amir masuk minang, terus setuju. Tak payah susah-susah nak fikir dua tiga kali. Maklumlah orang dah suka sama suka,” Lans Koperal Rashid memberitahu perkara yang sebenar. Lans Koperal Omar menghela nafas lega.
“ Baiklah. Kalau macam tu, eloklah kita aturkan pernikahan mereka secepat yang mungkin,” Puan Arianna yang dari tadi mendiamkan diri mengemukakan cadangannya.
“Hummpphh..bagus sangatlah tu. Lagi cepat lagi bagus. Cepat kita timang cucu,” giliran Puan Salmah membuka bicara. Mereka ketawa mendengar kata-kata Puan Salmah sambil mengangguk-angguk tanda setuju dengan kata-kata itu tadi.
KINI, Amalina sudah sah bergelar tunang Amir. Mereka berdua bakal melangsungkan pernikahan mereka setelah mereka tamat menjalani latihan polis tak lama lagi.
“Ina, agak-agak apa plan abah dengan ibu kita pasal perkahwinan kita tu nanti,” Amir mengajukan soalan itu pada Amalina tatkala mereka berdua sedang berehat di sebuah pondok. Kebetulan hari itu mereka tidak terikat dengan mana-mana latihan.
Amalina memandang wajah Amir dalam-dalam. Dia mengukir sekuntum senyuman. “Hhhmmm…entahlah. Ina tak berapa pasti lagi. Kadang-kadang pemikiran ibu dengan abah susah nak kita faham. Lagipun dia orang yang cakap yang dia orang uruskan semuanya. Dia orang kata lagi, kita berdua just tunggu dan lihat.”
Mereka terdiam seketika, “Ok. Kalau macam tu, kita kena sama-sama tunggu dan lihat.” Dia menguntumkan senyuman yang mampu mencairkan hati mana-mana perempuan.
HARI yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba jua. Mereka berdua sedondon mengenakan pakaian pengantin yang serba putih bak mutiara. Amir kelihatan segak dan bergaya manakala Amalina kelihatan anggun dan feminine mengenakan pakaian pengantin tersebut.
“Semuanya sudah bersedia? Pengantin lelaki? Pengantin perempuan? Para hadirin? Bagaimana?” Tok kadi yang juga merupakan tok imam Masjid Abu Hurairah bertanya. Para hadirin mengangguk perlahan tanda mereka sudah bersedia untuk memulakan majlis pernikahan itu termasuklah pasangan pengantin itu.
Tok kadi menghulurkan tangannya lalu disambut oleh Amir sebagai pengantin lelaki. Tangannya digenggam kemas.
“Aku nikahkan dikau, saudara Amir bin Omar dengan Amalina Asma’ binti Rashid Zaidi dengan mas kahwin sebanyak 1,111 ringgit tunai.”
Kemudian Amir menulang satu per satu kata-kata tok kadi sebentar tadi. Dia menarik nafas panjang. “Saya, Ami bin Omar terima nikahnya, Amalina Asma’ binti Rashid Zaidi dengan mas kahwin sebanyak 1,111 ringgit tunai,” Amir melafazkan akad nikahnya dengan lancar meskipun waktu itu hatinya berdegup dengan kencang sekali.
“Sah??” tok kadi bertanya kepada para saksi.
“Sah,” mereka menjawab serentak dan sebulat suara.
“Alhamdulillah,” mereka semua memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi diketuai oleh tok kadi. Pasangan pengantin mengukir senyuman. Tanpa sengaja, air mata Amalina gugur mengalir ke pipinya yang gebu.
MALAM itu merupakan malam yang sangat suram. Pasangan pengantin baru itu duduk bersama di birai katil. Tangan lembut Amalina digenggam erat. Mata mereka saling bertembung.
“Ina, andai kata abang tak dapat nak temankan Ina seumur hidup. Dan abang pun tak tau macam mana perasaan ni boleh ada dalam diri abang,” nada suaranya perlahan.
Riak wajah Amalina jelas menunjukkan reaksinya yang terkejut mendengar kata-kata Amir. Hatinya menjadi sebak. Matanya berkaca-kaca.
“Kenapa abang cakap macam tu? Jangan lah abang layan perasaan macam ni. Ni semua mainan perasaan je,” pegangan tangan mereka berdua bertambah erat. Tubuh Amalina ditarik ke tubuh Amir yang sasa. Mereka berpelukan dan sebuah ciuman hangat kemudiannya singgah di dahi Amalina. “Abang sayangkan Ina.”
KEESOKAN harinya, majlis persandingan mereka berdua dilangsungkan secara besar-besaran. Ramai tetamu kehormat yang hadir ke majlis persandingan mereka yang gilang-gemilang itu. Pasangan pengantin kelihatan bagai pinang dibelah dua, sepadan mengenakan pakaian pengantin berwarna kuning.
Namun begitu, kemeriahan majlis persandingan pasangan anggota polis tersebut bertukar menjadi riuh-rendah apabila 3 orang pemuda yan bertopeng menyerang majlis itu dengan melepaskan beberapa das tembakan di udara.
“ Omar! Omar! Keluar kau sekarang! Omar!” salah seorang daripada lelaki tersebut berteriak memanggil Lans Koperal Omar manakala yang lainnya mengacukan pistol kepada para tetamu yang hadir yang masing-masing sedang meniarap di atas lantai.
“Lans Koperal Omar mengeluarkan pistol dari seluar baju Melayu kuning yang dipakainya. Dia mengisi beberapa butir peluru ke dalam pistol.
“Lepaskan dia orang semua! Dia orang tak ada kena mengena dalam hal kita! Apa yang korang nak?! Siapa korang?!” Lans Koperal Omar muncul di hadapan mereka sambil mengacukan pistolnya ke arah lelaki yang memanggilnya tadi.
Amalina dan Amir bangun dari pelamin mereka. Dalam hati, mereka berdoa agar Lans Koperal Omar tidak diapa-apakan.
“ Husyyhh! Omar! Takkan kau dah lupa waktu kes rompakan dulu? Kau dah tembak kawan kita orang sampai mati. Kau memang kejam, Omar. Sekarang giliran kau pulak.” Terus tangannya menekan picu pistolnya. Peluru yang dilepaskan betul-betul kena tepat pada sasarannya. “BANG!!”
Peluru itu menembusi dadanya di bahagian kiri Lans Koperal Omar. Sekali lagi kedengaran bunyi tembakan sebanyak beberapa kali. “BANG! BANG!”
Pistol Lans Koperal Omar jatuh ke lantai. Tubuhnya rebah ke bumi. Amalina dan Amir dengan segera mendekati tubuh kaku Lans Kopeal Omar.
“Abah! Abah!” Amir memeluk tubuh kaku Lans Koperal Omar. Puan Arianna turut memeluk tubuh suaminya itu dengan tangisan. Amir dikuasai dengan perasaan marah. Hatinya pedih dan matanya berkaca-kaca menahan air mata.
Dengan pantas, dia mencapai pistol Lans Koperal Omar yang tidak berapa jauh darinya. Segera dia menekan picu melepaskan beberapa das tembakan ke arah lelaki-lelaki bertopeng itu. Seorang terkena di bahagian perut dab seorang lagi di bahagian kepala. Manakala lelaki yang telah menembak mati ayahnya, terkena di paha kanannya. Akan tetapi, lelaki itu terus melepaskan tembakan dan malangnya peluru itu terkena di dada kanannya dan di tangan kananya. Lantas dia rebah ke bumi.
Amalina yang tadinya berdamping dengan tubuh kaku Lans Koperal Omar-kini dipanggil mayat, terus mendekati tubuh Amir. Air matanya mengalir dengan deras.
“Abang! Abang! Bangunlah! Jangan tinggalkan Ina! Abang!!” Amalina memeluk tubuh Amir yang sedang nazak.
“Sayang…maafkan abang. Abang harap… kita jumpa…kat akhirat sana…” suaranya lemah. Perlahan-lahan dia mengucap kalimah syahadah. Kesakitan yang dialaminya tidak dapat lagi ditahannya.
“Bang!!” kali ini air mata Amalina mengalir lebih deras. Dia memberanikan dirinya. Pistol yang digunakan Amir tadi segera dicapainya. Dia ingin menuntut bela atas kematian bapa mertuanya dan kecederaan yang parah pada suaminya.
Pantas, dia menekan picu pistol tersebut setelah dia menetapkan sasarannya. “BANG!!” Peluru itu betul-betul terkena di dada kiri lelaki bertopeng itu yang cuba melarikan diri. Lelaki itu terjatuh ke lantai. Dia menoleh ke belakang.
Pistol yang digunakan Amalina tadi terus dicampakkannya jauh-jauh. Dia memandang wajah Amir yang jelas menunjukkan reaksi yang teramat sakit.
“Abang tahan, ye,” Amalina menggenggam tangan Amir. Dalam hatinya, dia berdoa kepada ALLAH yang Maha Esa agar Amir tabah bertahan. Dia tidak bersedia untuk kehilangan suaminya.
Tiba-tiba terdengar bunyi tembakan. “BANG!” Peluru itu menembusi tubuh Amalina dari bahagian belakang. Badannya terus rebah di atas tubuh Amir. Dahinya betul-betul mengenai bibir Amir.
“Abang, semoga kita jumpa kat akhirat sana…” dia mengucapkan kalimah syahadah perlahan-lahan. Selepas itu, tiada lagi pergerakan tubuhnya. Amir juga begitu. Tubuhnya kaku tidak bergerak. Pasangan pengantin itu akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di situ, pada hari persandingan mereka.
