Blogger Widgets TakdirNya | ~The Beginning of Life~

TakdirNya

Langit kelihatan suram. Mentari yang menyinari pagi tidaklah seceria semalam. Angin terus menghembus lesu, menggugurkan beberapa helai daun kering.

Eman mendongak ke langit. Remaja yang berusia awal 20-an itu melihat berpuluh ribu bangau putih terbang rendah di langit yang datang dari Lautan Hindi seakan-akan ingin menyampaikan sesuatu yang buruk pasti berlaku.

Eman membuka langkah ke Masjid Baiturrahman. Lengkap pakaiannya. Berkain pelikat dipadankan dengan kemeja T hijau berkolar dan berkopiah.

Perasaannya bercelaru. Bapa,ibu dan adik berada di rumah. Masing-masing sedang melayani tidur yang lena. Setiap langkahnya diisi dengan zikrullah. Dia cuba untuk bertenang.

Eman berniat iktikaf saat kaki kanannya didahului melangkah masuk ke dalam dewan masjid. Luas. Dia bersila di satu sudut masjid. Mulutnya masih terkumat-kamit menuturkan kalimah-kalimah Allah yang mulia.

“Ya Allah, lon bertobat ngon kah. Lon thee, lon nyoe leumoh,” (Ya Allah, aku bertaubat padaMu. Aku tahu, aku ini cuma insan yang lemah), Eman berbicara dalam dialek Aceh. Dia merintih. “Meu’ah lon. Lon ka insueh.”(Ampunkan aku. Aku insaf.)

Tiba-tiba sebuah gegaran dirasai oleh semua penduduk Aceh. Panik. Eman terpaku. Tetapi gegaran itu hanya sementara. Gegaran tadi mula reda. Para penduduk sibuk menyelamatkan diri masing-masing. Mencari perlindungan sebagai keselamatan awal.

Masjid Baiturrahman yang tadinya lengang kini mula dipenuhi oleh para penduduk. Selang beberapa minit kemudian, menyusul satu lagi gegaran. Kali ini lebih dahsyat dari gegaran yang pertama sebentar tadi. Eman panik. Fikirannya melayang pada keluarganya di rumah.

“Pakri sodara-sodara lon luwa jeh pat?” (Bagaimana keadaan saudara-saudara aku di luar sana?) dia berbisik perlahan menanyakan keadaan keluarganya. Tanpa sedar, air matanya mengalir perlahan dari kelopak matanya. Gegaran masih berlaku. Dia menarik nafas dalam-dalam.

Manusia masing-masing cuba menyelamatkan diri. Mencari perlindungan. Kebanyakannya berlindung di dalam masjid-masjid yang berdekatan. Bagi mereka, hanya satu-satunya yang dijamin selamat untuk berlindung buat masa seperti ini.

Mulut Eman masih terkumat-kamit mengalunkan zikrullah. Tenang. Tiba-tiba, terdengar air mengalir deras di luar masjid. Eman berhenti berzikir.

“Le raya?” (Banjir?) Eman segera bangun dari tempat duduknya. Dia pantas berlari ke bumbung Masjid Baiturrahman. Ramai orang berpusu-pusu naik ke bumbung untuk mencari perlindungan.

Dari situ jelas pemandangannya. Lebih dahsyat dari banjir biasa. Banyak bangunan yang dulunya berdiri teguh di atas tanah, kini musnah mencium bumi. Eman melarikan pandangan. Kedengaran bunyi esak tangis anak-anak kecil meminta tolong. Suara-suara yang sedang berada dalam kesusahan. Eman memandang di sekelilingnya. Ramai lagi penduduk yang berlari dan berebut-rebut untuk naik ke bumbung masjid itu.

Eman terduduk. “Bapa! Ibu! Adik!” dia menjerit semahu-mahunya. Dia tidak mahu kehilangan keluarganya. Dia begitu menyayangi semuanya.

Tubir matanya sudah tidak mampu menahan air mata yang jernih yang mengalir tiba-tiba. Air mata semakin membanjiri pipi dalam esakan yang memilukan. Eman mendongak ke langit. Hatinya tidak putus-putus berdoa kepada Yang Maha Esa.“Meunyo lon na ngon sodara-sodara lon…” (Maafkan aku. Aku tak ada dengan saudara-saudara aku..)dia merintih. Menyesali segalanya. “Meu’ah lon, meu’ah lon.” (Maafkan aku, maafkan aku)

Banda Aceh musnah teruk. Banyak bangunan yang runtuh menyembah bumi. Ajaibnya, puluhan masjid di wilayah Aceh tetap teguh di sebalik bencana yang dipanggil le beuna oleh orang Aceh atau lebih dikenali sebagai tsunami oleh masyarakat dunia. Antaranya, Masjid Baiturrahman, Masjid Meulaboh dan sebuah masjid yang terletak di Kuede Teunon, 100 kilometer di selatan Banda Aceh. ALLAHUAKBAR! Hebatnya kekuasaan Allah.

Berpuluh-puluh ribu mayat yang bergelimpangan dikumpulkan di satu tempat dan ditanam bersama. Berpuluh-puluh ribu anak kecil menjadi anak yatim dan berpuluh-puluh ribu jua penduduk yang hilang sumber rezeki dan tempat tinggal.

Eman menatap pemergian insan-insan yang tercinta. Dia duduk di kaki lima Pesantren Babun Najah yakni sebuah pondok pengajian agama. Sudah hampir sebulan mala petaka tsunami melanda Aceh.

Dia terkenang sewaktu dia dan adiknya ingin memetik buah mangga di kebun Pak Man.

“Boh peue nyong paleng kah galak?” (Buah apa yang awak paling suka? Eman bertanya.

Diam.

“Lon paleng galak boh jambee. Meunyo kah boh peue?” (Saya paling suka buah jambu. Kalau abang, buah apa?”)

Eman berfikir sejenak.

“Meunyo lon boh mamplam.” (Kalau abang, buah mangga.)

Angguk.

“Hay, kapot boh mamplam lee!” (Hey, abang kutip buah mangga dulu!) adiknya memberi cadangan.

“Keu peue?” (Untuk apa?) Eman pelik.

“Tapeuget seulincah. Hana hawakah?” (Kita buat rojak. Abang tak nak?)

Angguk. “Jeuet.” (Boleh.)

Eman memanjat pokok mangga lalu memetik buahnya. Banyak. Mereka berdua makan beberapa buah mangga di bawah pokok mangga yang rendang dan membawa selebihnya pulang ke rumah untuk membuat rojak.

“Na mameh boh mamplam nyan?” (Manis tak buah mangga tu?) Eman bertanya. Adiknya membuat muka.

“Peue mameh! Masam tulo!” (Manis apa?! Masam betul!) mereka berdua ketawa bersama. Seronok benar menghabiskan masa bersama.

“Hay!” Eman kembali menjejak ke dunia nyata. Air matanya dikesat perlahan dengan jari-jemarinya. Dia memandang orang menegurnya tadi yang kini mengambil tempat di sebelahnya.

“Pak Ustaz?” Eman bersuara perlahan. Kedua-dua matanya masih merah selepas menangis sebegitu lama. Di bibirnya, tertera segaris senyuman walaupun kesedihan masih bertakhta.

“Eman, sudahlah. Saya tak boleh melihat kamu sedih memanjang. Sepatutnya kamu patut berfikir tentang masa depan kamu. Bukannya memandang ke belakang. Fikirkan soal hidup kamu. Janganlah kamu kenangkan mereka yang sudah tiada,” suaranya lembut. Ustaz yang menyertai rombongan sukarelawan dari Malaysia menegurnya. Air mata yang dari tadi bergenang di tubir mata , tumpah membasahi pipi.

Angguk tidak, geleng pun tidak. Meskipun Eman seorang warganegara Aceh yang memiliki slanga Aceh yang pekat, dia boleh memahami dan bercakap dalam bahasa Malaysia kerana sebelum ini dia pernah bermastautin di Malaysia dalam tempoh yang agak lama.

Ustaz muda tadi mengusap perlahan belakang badannya. Perlahan-lahan Eman mengesat air matanya. Dia menarik nafas panjang. Cuba untuk bertenang.

“Pak Ustaz, saya faham,” pendek sahaja percakapannya. Dia senyum tawar. Segaris senyuman terukir di bibir ustaz muda itu.

“Saya juga sudah kehilangan kedua-dua ibu bapa saya beberapa tahun yang lepas akibat kemalangan. Saya tak boleh menerima hakikat ini kerana saya tak bersedia untuk kehilangan kedua-duanya. Lagi-lagi saya cuma anak tunggal. Tak ada adik-beradik yang lain.”

Diam.

Ustaz menelan liur. “Suatu hari, saya sedar bahawa saya hanya membuang masa. Saya hanya meratapi insan-insan yang telah pergi menyahut seruan Ilahi. Saat itu, saya sedar bahawa saya harus berusaha untuk bangkit dan hidup sendiri. Kerana itu, saya dapat menjadi seorang ustaz seperti sekarang demi membantu orang lain.”

Eman tunduk. Memikirkan kata-kata ustaz sebentar tadi. Matanya berkaca., menahan tangisan.

Suasana sepi buat seketika di antara mereka. Kedengaran suara anak-anak kecil yang sedang mengucapkan kalimah-kalimah Allah.

Bahunya ditepuk perlahan. “Kalau boleh, saya nak kamu menjadi seorang ustaz bagi membantu orang lain dan menyebarkan dakwah Islamiah. Boleh tak kamu membantu saya mendidik orang lain?” ustaz memberi pandangan. Eman mengangkat wajah. Dia memandang wajah ustaz muda itu dalam-dalam.

“Terima kasih, Pak Ustaz. Tapi, saya tak faham. Kenapa saya, Pak Ustaz?”

Ustaz menarik nafas panjang. “Kerana kamu sememangnya layak menjadi seorang ustaz. Lagi-lagi, umur kamu ini sudah boleh mendapat pekerjaan. Macam mana? Kamu setuju?”

Eman menelan liur. Dilema. Kedua-duanya diam seribu bahasa. Langsung tidak bersuara. Hanya kedengaran suara anak-anak kecil di situ.

Pesantren Babun Najah dipenuhi oleh anak-anak yatim yang sedang mempelajari ilmu agama. Kedengaran suara anak-anak kecil mengalunkan zikrullah Asmaul Husna.

Eman memperkemaskan kopiah di kepalanya. Kini sudah hampir enam bulan dia menjadi seorang ustaz di pondok pengajian agama itu. Dia begitu menyukai kerjanya itu. Ustaz yang mengesyorkan pekerjaan itu padanya suatu ketika dahulu sudahpun pulang ke Malaysia beberapa bulan yang lalu. Dia senyum sendiri.

Banda Aceh yang musnah teruk akibat mala petaka yang berlaku, kini berkembang sedikit demi sedikit. Bangunan-bangunan yang runtuh dibina semula. Manakala yang rosak dibaik pulih. Masjid-masjid yang masih berdiri kukuh juga dibaiki.

Kebanyakan penduduk Aceh mula sibuk mencari rezeki untuk menampung kehidupan seharian. Sukarelawan-sukarelawan khususnya dari Malaysia tidak putus-putus menghulurkan bantuan sama ada dari sudut makanan, pakaian mahupun perubatan.

Lima tahun kemudian

26 Disember 2009

Eman bersila di sisi kubur mangsa-mangsa tsunami. Tangannya masih erat memegang Surah Yasin. Air matanya mengalir perlahan.

“Meu’ah lon. Lon hana ngon sodara-sodara lon dutik keh. Lon rhap sodara-sodara beugie jeh pat,” (Maafkan aku. Aku tiada dengan saudara-saudara aku waktu itu. Aku harap saudara-saudara ku bahagia di sana.) dia merintih. Sudah lima tahun sejak malapetaka tsunami melanda Banda Aceh. Berpuluh-puluh ribu mangsa yang terkorban dalam mala petaka tersebut.

‘Duwa ploh nam buleuen duwa blah duwa ribee peuet, lon ilang sodara-sodara lon. Watee jeh, lon…’ ( Tanggal dua puluh enam haribulan dua belas dua ribu empat, aku kehilangan saudara-saudara aku. Waktu itu, aku…)

Bahunya ditepuk. Air mata yang membasahi pipi dikesat.

“Eman?” namanya disebut. Dia memandang wajah lelaki yang menegurnya tadi.

“Pak Man?” suaranya perlahan. Pak Man, pemilik kebun buah-buahan yang berasal dari Malaysia. Dia senyum tawar.

“Biarlah yang tiada itu pergi. Janganlah kamu tangisi lagi, Eman. Ayuh. Kita pergi dari sini. Hari dah nak hujan,” Pak Man bersuara.

Senyum. Eman bangun dari tempat duduknya. Tikar usang yang digunakannya sebagai alas digulungnya. Dia memandang tepat pada wajah Pak Man di sebelahnya. Segaris senyuman tertera di bibirnya.

Hidup memerlukan pengorbanan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula menentukan kebahagiaan.

0 komen:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...